Tuesday, 18 March 2025

DG 41

Berkali-kali mak dan abah hubungi aku. "Along. Rayuan masuk maktab berjaya. Nanti mak abah datang ambil".

"Along tak nak jadi cikgu!" lalu handphone dimatikan. 

Sebelum mak abah call, ada beberapa saudara mara yang cuba memujuk untuk aku keluar UITM dan masuk ke maktab yang kini digelar sebagai IPG (Insitut Pendidikan Guru).

Tanpa rasa bersalah mematikan telefon dan tekad tidak mahu menjadi guru, aku meneruskan minggu orientasi dengan selamba. Di hari keempat orientasi, tiba-tiba terdengar satu announcement "Diminta pelajar bernama Mohamad Naim bin ...... untuk hadir ke pejabat pengurusan kerana ibu bapa anda sedang menunggu".

Ya Allah. Tak tahu nak rasa apa masa tu. Rasa yang aku sendiri dah tak ingat dan tak nak ingat. Berdosanya aku pada hari itu. 

Kaki berjalan menuju ke pejabat pengurusan dan dah boleh agak apa akan berlaku seterusnya. Air mata berjurai-jurai jatuh. Jiwa remaja. Kerja nak memberontak. 

Selesai urusan di pejabat pengurusan, kaki melangkah ke hostel dan masih menangis. Semua baju dan peralatan mandi disumbat sahaja ke dalam luggage dan baldi. Tak inform langsung dekat roommate. Masa tu sebilik 4 orang dan salah seorang yang aku rapat ialah Fais namanya. Tak mesej pon sebab sedih sangat. Memang masa tu menangis je. Masuk kereta pon masih menangis dan konon-konon aku yang terpaling merajuk. Hanya pandang luar sahaja sepanjang perjalanan.

Sebelum balik ke Bangi, abah bawa aku ke IPG Tuanku Bainun terlebih dahulu untuk mendapatkan maklumat mengenai borang dan dokumen yang perlu disediakan semasa pendaftaran yang akan berlangsung sebulan dari tarikh aku keluar dari UITM. 

Semasa sampai di IPG, aku sedikit pon tidak berasa seronok. Haruslah berbeza struktur binaan IPG dan UITM. Betapa cantik dan canggih design bangunan UITM jila nak dibandingkan IPG Tuanku Bainu yang telah beroperasi sejak 1994.

Setelah selesai urusan, perjalanan balik diteruskan. Aku masih menangis dan diam seribu bahasa di dalam kereta sambil melihat luar. Tak tahu apa yang dilihat. Pandangan kosong tetapi fikiran penuh dengan kebencian. Tangisan semakin reda tapi hati rasa nak menjerit-jerit. "Along tak nak jadi cikgu!".

Sebulan di rumah sementara menunggu pendaftaran IPG sememangnya sangat menyeksakan. Sedih sangat bila diingat. Betapa derhakanya aku sebagai seorang anak. Kononnya terpaling tersakiti. Sebulan tu juga aku kurungkan diri di dalam bilik dan tak bercakap dengan mak abah. Tapi bila lapar tetap ke dapur untuk makan. Kelakar. 

Wednesday, 12 March 2025

Aku Seorang Guru

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wbt.

Di pagi 11 Ramadan 1446H, terdetik pula nak update blog ni. Last update ialah pada 2016 ya. Dah tak ingat pakai email yang mana masa aktif ber-blogging dulu. After few recovery akhirnya dapat masuk dan alhamdulillah boleh menulis. 

Untuk memulakan penulisan, aku share satu karangan yang aku pernah buat dulu. Karangan ini dibuat sempena untuk menghantar satu penyertaan pertandingan guru something something which aku pon dah lupa. Ada dapat email daripada pihak penganjur untuk hantar penyertaan tapi disebabkan kekangan masa dan kitanya tak rajin nak menaip panjang panjang. Terus terhenti dan tersimpan lah karangan ni dalam hard disk. Bila baca balik teruknya penulisan dulu walhal baru tiga tahun lepas. Karangan ni memang raw tanpa sebarang edit. Siap guna "saya" lagi. 

"Dibesarkan oleh ayah yang bekerja sebagai seorang guru, sejujurnya kerjaya guru bukanlah pilihan pertama saya. Setelah mendapat keputusan SPM pada tahun 2007, saya berjaya melanjutkan pengajian di UITM Permatang Pauh dalam bidang Civil Engineering. Namun saya hanya sempat mengikuti minggu orientasi di UITM selama 4 hari sahaja setelah mendapat panggilan kemasukan ke IPG Kampus Tuanku Bainun mengikuti opsyen Pendidikan Jasmani selama 5 tahun setengah. Memasuki IPG bukanlah atas kerelaan sendiri tetapi atas permintaan dan rayuan ibu bapa saya. Saya menolak dan menangis semahunya tetapi atas takdir dan keberkatan mendengar kata ibu bapa, kini saya sudah berkhidmat sebagai seorang Guru Pendidikan Khas selama 8 tahun dan sedang menunggu proses kenaikan pangkat daripada DG 41 ke DG 44. Siapa juga sangka, 5 tahun setengah di IPG mengikuti opsyen Pendidikan Jasmani aliran perdana tetapi saya telah di-posting-kan dalam Program Pendidikan Khas Integrasi(PPKI) sehingga kini. Pada awalnya satu kejutan yang besar buat saya untuk berada dalam kalangan kanak-kanak istimewa atau Murid Berkeperluan Pendidikan Khas(MBPK). Saya tidak tahu untuk memulakan proses pengajaran dan pembelajaran, tiada kepuasan yang berjaya dicapai dan sentiasa berteka teki adakah saya patut dan layak untuk kekal mengajar MBPK.

Berbekalkan semangat untuk mencari keberkatan dan melihat perkembangan murid, saya mula menyediakan diri dengan banyak membaca, mengikuti kursus-kursus yang berkaitan, menyertai pelbagai program anjuran PPD, JPN dan BPK sehingga akhirnya kini yakin saya katakan saya sudah jatuh cinta dengan MBPK dan sentiasa berpendirian agar MBPK mendapat pengiktirafan, kemudahan dan peluang yang setaraf dengan murid aliran perdana. 

8 tahun di perantauan, sekolah pertama sya berkhidmat ialah Sekolah Kebangsaan Durian Tawar, Bera Pahang seterusnya berpindah ke Sekolah Kebangsaan Kerayong Jaya, Bera, Pahang dan kini saya telah berjaya dalam permohonon eg-tukar dan telah ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru."

Sepatutnya ada sambungan. Tapi tu lah seperti alasan yang telah dinyatakan di atas. Sampai situ je lah karangannya.

Fuh! bila baca ni tak sangka dah 11 tahun bergelar pendidik dan siapa sangka "Rahsia Tuhan". Aku kini bukan seorang guru tetapi seorang pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia mendapat tajaan CBBPDB di bawah program HLP. Semoga Naim Zul yang dulu konon-kononnya Naim Iman rajin menulis. Banyak sangat kisah menarik sebagai seorang pendidik untuk dikongsi. Seiring dengan usia, aku juga kerap lupa. Kita coretkan di sini untuk dibaca lalu cringe di usia senja nanti sekiranya berumur panjang. InsyaaAllah.